Ramadhan Dan Pusingannya

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Taala kerana dengan rahmat dan limpah kurnia-Nya maka masih lagi diberikan peluang kepada kita untuk menikmati Ramadhan dan seterusnya memperbaiki mutu amalan kita serta memperbanyakkannya.

Ketahuilah bahawa bulan Ramadhan itu terdapat tiga pusingan di dalamnya. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud "Ramadhan awalnya rahmat, pertengahannya maghfirah dan akhirnya diselamatkan dari api Neraka"

Daripada mafhum hadis di atas maka dapatlah disimpulkan di sini bahawa Ramadhan itu terdapat tiga pusingan iaitu:
  1. Pusingan pertama ialah rahmat (10 hari pertama)
  2. Pusingan kedua ialah Maghfirah (10 hari kedua)
  3. Pusingan ketiga ialah diselamatkan dari api Neraka (10 hari ketiga)

Maka pusingan pertama Ramadhan akan berakhir pada hari ini di saat penulisan ini dilakukan. Wahai sahabat cuba kita renung dan ingat kembali pada pusingan yang pertama ini apa yang kita dapat daripadanya. Adakah ianya lebih baik daripada pusingan pertama Ramadhan yang sebelumnya? Tepuk dada tanya Iman.

Insya-Allah di pusingan yang kedua nanti buatlah yang terbaik seolah-olah Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang terakhir bagi kita. Amin!

KITA IBARAT PINGGAN

Andaikan 3 individu berbeza meminjam sebiji pinggan daripada Kita.. Selang beberapa tempoh masa, individu pertama memulangkan pinggan tersebut dalam keadaan bersih cantik tanpa sebarang kecacatan.. Lalu Kita pun terus meletakkannya di atas rak pinggan mangkuk seperti keadaan asalnya..

Individu kedua pula memulangkan pinggan tersebut dlm keadaannya yang masih kotor; tidak berbasuh.. Pinggan tersebut akan Kita basuh sehingga bersih, kemudian barulah ianya diletakkan di tempat yg sepatutnya..

Individu ketiga pula memulangkan pinggan tersebut dalam keadaan pecah bersepai.. Tidak boleh dibezakan lagi bentuknya antara pinggan mahupun serpihan kaca.. Tiada nilainya lagi.. Kita tiada pilihan lain selain menghumbankannya ke dlm tong sampah yg hina..

Begitulah jua halnya dgn Allah Taala.. Jika Kita kembali kepadaNya dalam keadaan bersih, elok, tanpa kekotoran dosa, maka Allah akan terus meletakkan Kita di tempat yang baik dan tempat yg selayaknya bagi Kita.. Iaitu syurga..

Namun jika Kita kembali ke hadratNya dlm keadaan kotor dgn dosa, Allah akan 'basuh' Kita sebersih-bersihnya di dlm api neraka sebelum memasukkan Kita ke dlm syurga..

Tetapi jika Kita kembali kepadaNya dlm keadaan yg rosak imannya, sehingga tidak dpt dibezakan antara iman dengan kufur, maka Allah tidak akan teragak2 utk menghumbankan Kita ke dlm neraka jahannam yang hina buat selama-lamanya, ibarat pinggan yg pecah; tiada nilai lagi...

Semoga bermanfaat

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan!

Ramadhan kini menghampiri...sediakah aku untuk menyambutnya. Apakah Ramadhan kali ini akan menjadi lebih baik dari Ramadhan yang lalu?

Ramadhan, awalnya rahmat, pertengahannya maghfirah dan akhirnya diselamatkan dari api neraka.

Ramadhan membawa seribu makna. Ramadhan adalah bulan untuk umat Islam. Amalan sunat diganjarkan pahala amalan wajib manakala amalan wajib digandakan 70 kali ganjarannya.

Ramadhan mampukah aku mencari mutiara-mutiara yang ada di dalamnya?

Ramadhan ditutup semua pintu Neraka dan dibukakan semua pintu Syurga.

Ramadhan bulan yang mulia, penghulu segala bulan serta diturunkan Al Quran padanya...

Ya Allah kau sampaikanlah aku pada bulan Ramadhan kerana aku benar-benar merinduinya...

Ingin ku cari Lailatul Qadar padanya...

Tawakkal Serta Tingkatannya

"Hakikat Penyerahan Diri Seorang Hamba Kepada Al-Kholiq"
Tawakkal mempunyai tiga tingkatan yang berkaitan kekuatan dan kelemahan. Tiga tingkatan tersebut adalah sebagaimana yang di bawah ini.

Tingkatan pertama, seseorang itu yakin kepada Allah Subhanahu Wataala dan Hak-Nya, bahawa ia berada dalam tanggungan dan bantuan Allah Subhanahu Wataala, sebagaimana keadaan dirinya mempercayai wakilnya.

Tingkatan kedua pula ia merasa sentiasa bersama Allah Subhanahu Wataala seumpama si anak kecil bersama ibunya. Si anak kecil tidak mengenali sesiapa selain dari ibunya. Pegangan erat hanya kepada ibunya. Apabila ia melihat si ibu ia segera bergantung kepadanya dengan memegang kain si ibu. Dalam ketika yang tertentu, ibunya meninggalkannya, jika ia tertimpa sesuatu, maka yang pertama sekali disebutnya ialah: "Ibu!"

Tingkatan ketiga pula ia berada di hadapan Allah Subhanahu Wataala dalam segala gerak dan diamnya. Ia tidak berpisah dengan-Nya. Ia melihat dirinya tidak ubah seperti mayat yang digerakkan oleh Qudrat Azaliyah, kedudukan dirinya tidak berbeza dari mayat di tangan si pemandi mayat. Ia berkeyakinan kuat yang pemandi itu yang menjadi pelaku gerak, kuasa, kehendak, ilmu dan sifat.

Begitulah secara ringkasnya. Utarakan pandangan dan ulasan anda agar kita dapat berkongsi ilmu yang bermanfaat. Insya-Allah


Zalimkah Kita?

Assalamualaikum, Salam perjuangan!

Sabda Nabi S.A.W. : Berfirman Allah Azzawajalla: Sesungguhnya aku akan membalas (mengazab) akan orang yang melakukan kezaliman sama ada cepat atau lambat, Dan sesungguhnya aku juga akan membalas (mengazab) orang yang melihat orang yang dizalimi tapi tidak menolongnya, sedang dia berkemampuan untuk menolongnya namun dia tidak menolongnya; - Hadis Qudsi diriwayatkan oleh At-Thabarani.

Persoalan:

Adakah kita tergolong dalam golongan pertama iaitu orang yang melakukan kezaliman? Atau adakah kita tergolong dalam golongan kedua iaitu orang yang melihat orang yang dizalimi dan tidak menolongnya sedangkan kita mampu untuk berbuat demikian?

Renungkanlah wahai sahabat-sahabat sekelian!

Kurang Air Rosakkan Organ

Kita sering dinasihatkan supaya minum banyak air, sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. Namun bagi sesetengah orang, nasihat ini sukar diikut dengan alasan mereka akan kerap mengulang ke tandas dan ini bukan perkara digemari.



Selain itu, ada juga yang berpendapat badan mereka menerima cukup bekalan air selepas dicampur kopi, teh, jus buah atau minuman berkarbonat yang diambil sepanjang hari.

Justeru, ramai beranggapan pengambilan air masak dirasakan tidak perlu sebanyak disarankan.

Secara purata, badan kita kehilangan hampir 2.5 liter air (lebih kurang 10 cawan) setiap hari melalui peluh, pernafasan dan pembuangan najis.

Pada masa sama, kita juga kehilangan bahan elektrolit (mineral) seperti sodium, potassium dan kalsium yang berfungsi menjaga keseimbangan cecair dalam badan.

Perlu Diganti Segera

Itu adalah kadar kehilangan air yang normal daripada setiap orang. Bagi individu yang aktif, kadar kehilangan air dan mineral lebih banyak yang perlu diganti segera bagi mengelakkan berlakunya dehidrasi (masalah kekurangan air).

Hampir 60% daripada berat badan kita adalah berat air, jadi jika berlaku dehidrasi badan akan mengalami perubahan fisiologi yang mungkin boleh menjejaskan kesihatan, tetapi masalah ini biasanya tidak kita sedari.

Masalah kekurangan air akan menyebabkan jumlah darah yang dipam ke seluruh badan juga berkurang. Akibatnya, jantung terpaksa mengepam lebih kuat untuk membekalkan darah yang mencukupi kepada semua organ dan keupayaan badan mengekalkan tekanan darah juga menurun.

Oleh kerana badan kekurangan air, kita tidak akan berpeluh dan haba tidak keluar dari badan seperti biasa. Dalam keadaan lebih serius, masalah ini akan menyebabkan suhu badan meningkat dan kita mungkin boleh demam.

Dahaga Bila Kurang Air

Mungkin anda berfikir, badan kurang air bila kita dahaga. Anggapan ini kurang tepat kerana dahaga bukan penunjuk tepat kepada masalah ini, terutama di kalangan kanak-kanak dan orang tua, kerana badan boleh mengadaptasi kepada keadaan kekurangan air sehinggalah masalah menjadi lebih serius.

Bukan semua kes dehidrasi akan menyebabkan komplikasi serius, tetapi kehilangan dua peratus berat badan boleh mempengaruhi prestasi, terutama di kalangan atlit, kehilangan tiga hingga lima peratus berat badan akibat dehidrasi menjejaskan penumpuan, tindak balas dan pertimbangan mereka.

Penunjuk terbaik adalah warna air kencing — sama ada kuning cair atau pekat.

Tanda dan Kesan Kekurangan Air

Antara tanda kekurangan air termasuk:

* Cepat letih, kanak-kanak jadi kurang aktif
* Terlalu dahaga
* Mulut kering
* Mengantuk
* Air kencing sedikit dan pekat
* Air mata terlalu sedikit atau tiada apabila menangis
* Lemah otot
* Sakit kepala dan pening

Pada keadaan lebih serius, individu terbabit mungkin mengalami masalah:

* Kurang berpeluh
* Mata cengkung
* Tekanan darah rendah
* Kulit menjadi kering dan tidak kenyal (bila ditekan, lambat kembali ke bentuk asal)
* Denyutan jantung menjadi cepat
* Demam
* Meracau
* Pengsan

Keadaan kekurangan air berterusan juga boleh mengundang bahaya yang tidak dijangka, seperti hipovolemik yang berlaku apabila jumlah darah yang dipam ke organ berkurangan dan mengakibatkan oksigen yang sampai ke organ dan tisu badan tidak mencukupi.

Jika tidak diatasi segera, hipovolemik boleh menyebabkan kematian dalam masa beberapa minit.

Malah, otak juga boleh menjadi bengkak. Biasanya air yang hilang dari badan mengandungi garam galian dan untuk menggantikannya, badan terpaksa menghasilkan bahan yang akan menarik balik air ke dalam sel.

Akibatnya, sel mungkin menyerap terlalu banyak air, menjadi bengkak dan pecah. Keadaan ini bertukar menjadi masalah serius apabila membabitkan sel-sel otak.

Sikap tidak suka minum air juga sebenarnya menyeksa organ penting badan, terutama buah pinggang, kerana buah pinggang tidak lagi dapat berfungsi menapis bahan-bahan toksik daripada air (tindak balas untuk mengurangkan kehilangan air dari badan).

Air juga mudah keluar daripada badan melalui cirit birit (kaedah paling cepat kehilangan air dan garam mineral, terutama di kalangan kanak-kanak), bersenam, berjogging, berbasikal atau sekadar berjalan.

Demam juga akan menyebabkan kita kehilangan air. Lagi panas suhu badan, lebih banyak air yang hilang. Masalah bertambah buruk jika anda muntah dan birit birit.

Minum Air Semasa Penerbangan

Selain itu, penerbangan yang lama ke satu-satu destinasi juga menyebabkan kita kehilangan air kerana udara dalam kapal terbang sangat kering, dengan kadar kelembapan kurang daripada 10 peratus. Keadaan bertambah buruk jika anda minum minuman beralkohol. Jadi, pastikan anda minum banyak air masak ketika penerbangan.

Bagi orang dewasa yang masih muda, masalah kekurangan air mungkin tidak mendatangkan banyak kesan sampingan, tetapi keadaannya berbeza bagi bayi, kanak-kanak dan orang tua, khususnya jika menghidap penyakit seperti kencing manis.

Justeru inilah juga, kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga jika bayi atau anak kecil mengalami masalah muntah dan cirit birit. Pastikan air yang hilang dari badan diganti segera untuk mengelakkan kemungkinan yang tidak diingini kerana kehilangan air berlebihan boleh menyebabkan kematian.

Semakin kita berusia, kebolehan badan untuk mengekalkan kandungan air dalam badan menurun, deria mengesan dahaga juga menjadi kurang peka dan kemampuan badan bertindak balas dengan perubahan cuaca juga semakin rendah.

Malah, sesetengah orang tua yang tinggal di rumah penjagaan mahupun duduk sendirian selalunya makan sedikit dan terlupa untuk makan atau minum. Keadaan ini juga akan menyumbang kepada masalah dehidrasi yang semakin meruncing setiap hari jika tidak diperbaiki.

Jadi, sebelum berlaku kerosakan tidak diingini, mulakanlah amalan yang baik untuk diri anda. Caranya bukan susah, cuma minum air masak sekurang-kurangnya lapan gelas atau satu liter sehari. Jadi, jangan bertangguh lagi melakukan ‘kebajikan’ untuk diri sendiri!